Saturday 27 June 2015

TEKNIK DIDIK ANAK MEMBACA BAHASA MELAYU


PDF
      Setiap masa saya terfikir-fikir bagaimana untuk menjadikan anak murid LINUS saya tahu membaca dan memahami apa yang mereka baca. Mereka seolah-olah hilang punca , tidak tahu bagaimana untuk memulakan bacaan dan tidak tahu dari mana harus mereka fahami apa yang mereka baca. Kesian mereka. Mereka juga tidak dapat memilih setiap kata dasar yang terdapat dalam bahan bacaan. Selain itu tumpuan mereka terhadap bahan bacaan juga amat rendah, hal ini kerana mereka tidak tahu isi bacaan.

      Pengalaman awal dari rumah adalah pengaruh yang kuat terhadap tahap bacaan anak-anak. Sekiranya kesediaan mental mereka tidak ada terhadap bahan bacaan, sukarlah bagi mereka belajar seiring dengan perkembangan mereka. Walaupun begitu, tidak saya nafikan faktor kesihatan, kelahiran dan status sosio ekonomi keluarga juga mempengaruhi kemajuan anak-anak. 

      Adalah diharapkan petikan dari buku-buku  kaedah cepat membaca, bacalah anakku dan ReadEasy boleh membantu kita dalam mendidik anak-anak untuk mudah membaca. Sebagai seorang ibu juga saya tidak pernah memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada guru untuk mengajar anak saya malahan, sayalah yang berusaha untuk memajukan anak sendiri . Sebagai guru juga saya hanyalah mampu mengajar mengikut peruntukan waktu yang sememangnya tidak pernah cukup sekiranya anak-anak murid lemah bacaannya.Guru hanyalah pembimbing, yang mampu membimbing seseorang murid yang mempunyai kesediaan diri untuk belajar. 

       Sebagai guru juga saya tidak terlepas dari anggapan negatif dari masyarakat yang menyangka guru hanya memberi tumpuan terhadap murid yang pandai. Sebagai guru Bahasa Melayu, suara dan ungkapan bahasa yang berbagai terpaksa digunakan untuk memastikan ilmu yang disampaikan memenuhi setiap corong telinga dan dada anak murid. Oleh itu akhlak yang sempurna amatlah diharapkan oleh guru semasa menyampaikan ilmu. Akhir kata, tuntutan ilmu dan penerapan akhlak yang sempurna mestilah seiring. barulah terhasilnya anak yang cemerlang dunia, cemerlang akhirat.





Teknik Didik Anak Membaca


Bersama Othman Ahamad
Penulis Siri Cepat Membaca ,Bacalah Anakku, dan ReadEasy.

Bolehkah anak berusia 15 bulan membaca? Apa pandangan anda? Mustahil bukan? Tetapi pada usia inilah anak anda perlu dilatih untuk mula mempunyai minat untuk membaca supaya pada usia 3 tahun nanti mereka bersedia untuk membaca.
Pada mulanya anak-anak kecil ini lebih berminat dengan warna buku, pergerakan kertas yang diselak, bunyi bising kertas dan suara lucu anda. Bagaimanapun, sambil anda bercakap dan membaca, mereka akan melihat pergerakan jari telunjuk anda dan mula melihat warna, bentuk dan corak gambar dan teks yang dibacakan.





Sedikit demi sedikit bentuk dan corak tersebut menjadi lebih jelas dan biasa dengan mereka. Seterusnya mereka akan mengaitkan bentuk-bentuk tertentu dengan bunyi-bunyi tertentu. Biasanya mereka akan membalik-balikkan muka surat yang dibaca, menunjuk-nunjuk benda yang telah biasa dilihat dan kadang kala mendengar apa yang diceritakan dan mengikut bersama bercerita dengan bahasanya sendiri. Melalui bukulah, kanak-kanak dapat membina bahasa, belajar mendengar, memahami dan bercakap dan menggalakkan komunikasi. Buku juga bukan sahaja dapat meluaskan imaginasi dan pengalaman mereka tetapi juga membantu mereka memahami situasi dan cara orang disekelilingnya berinteraksi.
Oleh itu ibu bapa bukan sahaja perlu bijak memilih buku yang sesuai tetapi juga pandai menggunakan buku untuk merangsang minat membaca kepada anak-anak kecil.
Pada awalnya, pilihlah buku yang mempunyai ilustrasi binatang seperti kucing, ikan, ayam dan sebagainya, objek yang dekat dengannya seperti baju, kasut, sikat, dan sebagainya yang jelas, besar dan berwarna warni.Bercakaplah mengenai benda-benda di dalam buku tersebut seperti warna, bentuk, bunyi berkaitan dan kegunaannya. Namakan benda atau objek yang dilihat dengan sebutan yang jelas. Buku-buku yang interaktif dalam konteks ada bahagian gambar yang boleh ditarik, ditekan, diselak sangat menarik minat kanak-kanak supaya terlibat secara langsung dalam sesi membaca. Rangsang minat anak anda dengan menggalakkan mereka menarik, menekan, mencungkil dan menyentuh bahagian-bahagian tersebut. Jangan terlalu sayangkan buku sehingga mereka tidak dapat menyentuhnya. Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang akan menjadikan mereka lebih berminat dengan buku dan merangsang otak mereka.
Seterusnya dapatkan buku-buku nursery rhymes dengan kisah-kisah lama yang menarik dan penuh dengan hiburan dan pengajaran. Lagu-lagu yang dikaitkan dalam cerita-cerita ini dapat menarik minat mereka kepada buku dan seterusnya kepada cerita-cerita yang berlagu ini.Beberapa cadangan berikut mungkin dapat membantu anda menarik minat mereka kepada buku.
Adakan sesi membaca bersama-sama. Bacakan buku sambil mendakap mereka.
Bercerita dengan penuh emosi dan minat. Bunyikan bunyi binatang yang dilihat dengan bersungguh-sungguh dan 'real'.
Libatkan aksi dan pergerakan , contohnya menggerakkan tangan seperti belalai gajah apabila bercerita.
Tanyakan soalan-soalan seperti berikut:
eh besarnya bola ini. Ani suka bola?
Yang mana satu sudu yang Amir suka?
Apa yang warna biru tu?
Apa jadi selepas ini?
Bercerita dengan bahasa yang mudah. Contohnya: " Ini kucing. Bunyi kucing 'meow' 'meow' 'meow'. Kucing suka makan ikan"
Untuk sesi membaca atau bercerita bersama, lakukan beberapa cadangan berikut:
minta anak anda mencari muka surat pertama atau permulaan cerita.
sambil membaca, tunjukkan teks perkataan yang dibacakan. Ini akan membantu anak itu memahami arah pergerakan apabila membaca dan memahami secara tidak langsung bahawa teks perkataan penting dalam cerita yang dibacakan, bukan hanya gambar-gambar.
minta anak anda membalikkan muka surat untuk anda.
tokok tambahkan cerita yang dibacakan dengan maklumat lain supaya mereka lebih faham.
tanyakan kepada mereka apa yang terjadi selepas ini.
apabila mereka telah biasa dengan cerita yang dibacakan, minta mereka ceritakan kembali cerita tersebut.
Apabila kanak-kanak sudah mula jinak dengan buku-buku cerita atau buku gambar, anak anda mungkin telah bersedia untuk diperkenalkan bunyi-bunyi huruf kepada anak anda. Oleh itu sambil anda membacakan cerita tersebut, terangkan bunyi huruf yang biasa dilihat yang ada pada teks yang dibacakan. Contohnya 'a', anda boleh menyebut:
"Ah, cuba lihat ini. Ini bunyinya 'aaa' (untuk huruf 'a')"
"Yang ini pula 'beh' (untuk huruf 'b')"
Pastikan anda tidak memperkenalkan huruf yang dilihat itu dengan namanya, iaitu 'ei' bagi huruf 'a', atau 'bi' bagi huruf 'b'. Kanak-kanak hanya perlu diperkenalkan dengan bunyi huruf sahaja iaitu 'aa' (untuk 'a') dan 'beh' (untuk 'b') kerana nama-nama huruf tidak ada makna bagi seorang kanak-kanak kecil. Bahkan mengajar nama-nama huruf, bagi seorang penulis buku, Professor Robert K. Logan dalam bukunya, The Alphabet Effect, mengatakan 'teaching a,b,c is the first road block to reading.'


Belajar Membaca Menggunakan Kaedah Fonetik



AJAR ANAK ANDA MEMBACA - BAGAIMANA MENGGUNAKAN KAEDAH FONETIK (BAHAGIAN 1)

Ajar Anak Anda Membaca - Bagaimana Menggunakan Kaedah Fonetik (Bahagian 1)


Bersama Othman Ahamad
Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy

Sudahkah anda bersedia untuk belajar membaca? Sebagaimana yang dijelaskan pada isu lepas, anak-anak yang diberi rangsangan yang sesuai akan bersedia untuk belajar membaca seawal usia 3 tahun. Bagaimanapun, apakah kaedah yang sesuai dengan anak-anak anda? Kaedah mengeja? Jangan. Kaedah suku kata? Tidak juga. Gunakanlah kaedah fonetik.
Mengapa? Kaedah fonetik adalah kaedah yang paling sesuai dengan kanak-kanak kerana kaedah ini telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca. Kajian telah menunjukkan bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu. Kaedah lain bukan sahaja tidak sesuai untuk kanak-kanak bahkan menyusahkan mereka, lambat, mengelirukan dan membebankan memori.



Ada beberapa perkara JANGAN yang perlu ibu bapa tahu supaya tidak menyusahkan anak-anak apabila mengajar membaca.
JANGAN ajar nama-nama huruf contohnya ‘ei’ untuk huruf ‘a’, ‘bi’ untuk huruf ‘b’ dan seterusnya kerana anak-anak yang tahu nama-nama huruf tidak semestinya dapat membaca. Bahkan mengajar mengenal nama huruf a, b, c adalah halangan pertama membaca.
JANGAN ajar anak mengeja-eja huruf pada perkataan-perkataan yang dilihat kerana mengeja melibatkan dua proses iaitu menyebut nama huruf dan membatang pola-pola ejaan.
JANGAN ajar anak mengenal bunyi huruf sambil mengenalkan nama huruf sekaligus, contohnya seperti menyebut ‘ei’ (huruf ‘a’) bunyinya ‘a’ kerana anak tidak perlu tahu nama huruf untuk membaca.
JANGAN ajar anak menghafal mana-mana suku kata atau perkataan apabila mula mengenal perkataan kerana kanak-kanak akan terbeban dengan ratusan pola-pola ejaan yang menyukarkan.
JANGAN ajar huruf-huruf besar dahulu kepada kanak-kanak kerana huruf besar tidak penting kepada kanak-kanak pada peringkat awal.
Jadi apakah yang BOLEH dalam mengajar anak membaca mengikut kaedah fonetik? Membaca mengikut kaedah fonetik melibatkan proses awal berikut; Memperkenalkan bunyi secara sistematik
anak-anak perlu tahu bunyi huruf – iaitu dapat menyebut bunyi dan ingat bunyi huruf yang diajarkan
anak-anak perlu kenal huruf – iaitu bentuk, rupa dan cara tulis huruf tersebut
anak-anak dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang berkaitan.
Kanak-kanak seawal usia 3 tahun dapat mengecam dan membezakan bunyi-bunyi dan bentuk-bentuk pada usia ini. Oleh itu dengan teknik yang betul anak-anak dapat mengenal bunyi dan mengaitkan bunyi tersebut dengan bentuk huruf yang ditunjukkan dengan cepat. Anak-anak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ (nama huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Sehubungan itu, apabila anak-anak melihat huruf ‘ani’, dia akan menyebut bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).
Beberapa teknik mengajar bunyi boleh dilakukan oleh ibu bapa tetapi kaedah asosiasi adalah yang terbaik. Melalui kaedah asosiasi, bunyi ‘aa’ tersebut boleh dikaitkan dengan aksi terkena api. Sakitkan? Jadi buat aksi orang terkena api sambil menjerit ‘aaaaaaa panasnya!’ Melalui asosiasi ini anak dapat mengingat dan menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan. Ikutilah kursus-kursus Bacalah Anakku atau rujuk buku panduan siri cepat membaca Bacalah Anakku.
Sebaik-baiknya ibu bapa tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekaligus. Memadai hanya beberapa bunyi asas terlebih dahulu. Sila dapatkan siri cepat membaca Bacalah Anakku yang telah disusun secara sistematik dalam pemilihan bunyi-bunyi huruf yang sesuai terlebih dahulu. Dengan mengikut susunan siri ini, anak dapat menguasai bunyi dengan lebih teratur dan berkesan. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ lebih kerap, wajarlah bunyi-bunyi ‘a i u’ diperkenalkan dahulu. Lebih-lebih lagi bunyi-bunyi ini lebih senang disebut oleh kanak-kanak. Seterusnya bunyi-bunyi konsonan lain diperkenalkan satu persatu , contohnya ‘b’ ‘n’ ‘m’ ‘s’ dan ‘k’.
Seterusnya, dengan berpandukan siri cepat membaca Bacalah Anakku, ajar anak-anak membaca gabungan huruf konsonan dan vokal yang diajarkan , contohnya ‘b’ dan ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ untuk membaca ‘ba’ ‘bi’ dan ‘bu’. Melalui kaedah fonetik, anak-anak tidak akan mengeja ‘ba’ menjadi “ba” ; tidak juga menghafal suku kata ‘ba’; tetapi mereka membaca dengan menggabung-gabungkan bunyi ‘beh’ (bagi huruf ‘b’) dan ‘aa’ (bagi huruf ‘a’).

No comments:

Post a Comment